Honey telah menghadiahkan aku sebuah iPod nano, model generasi keempat yang mempunyai kapasiti berjumlah 8GB. Alangkah girangnya hatiku apabila dihadiahkan pemain muzik/gambar/video/simpanan data tersebut. Lalu aku membawanya ke rumah. Terima kasih Honey!Sesampainya di rumah, aku terlihat rakan rumahku, M sedang asyik menonton TV di ruang tamu rumah. Lalu aku melabuhkan pinggul ke sofa dan seterusnya mengeluarkan iPod nano yang baru saja sebentar tadi diberi.
M: Wah, iPod baru! Bak sini jap aku tengok.
Rakanku M membelek-belek iPod berkenaan. Hampir setiap butiran ditelitinya secara amati. M memang dikenali dengan kebijaksanaan dan pengetahuannya dalam bidang perbankan juga isu semasa. Terkadang, aku juga meminta nasihat daripadanya.
M: Kamu tengok ni, apa yang tertulis kat belakang iPod ni. Designed by Apple, California. Assembled in China.
Aku: Ha, kenapa?
M: Kamu tau tak, yang barangan buatan China ni banyak melamin. Melamin bukan plastik. Tetapi ia sejenis bahan kimia yang digunakan untuk membuat plastik. Bahaya, takkan tak pernah dengar kot?
Aku: Biar benar? Entahlah, aku jarang tengok berita kat TV.
M: Kamu nak membahayakan nyawa kamu sendiri ke dengan menggunakan barangan buatan China ni?
Aku: Ish, kalau boleh taknak lah. Buat apa bahayakan nyawa sendiri.
M: Ha macam ni lah. Kamu bagi iPod ni kat aku. Kamu ambil iPod nano fake aku tu.
Aku: Eh, kamu nak bahayakan nyawa kamu juga ke?
M: Bukan macam tu, aku ada kawan dari China yang dah ajar aku langkah pencegahan nak elakkan masalah melamin ni. Kamu tak tau langkah percegahannya lagi. Kamu nak bahayakan nyawa kamu?
Aku: Okey, okey. Aku tak sanggup. Takpe, kamu ambillah iPod aku tu. Bagi aku iPod fake kamu tu. Terima kasih M, kalau kamu takde, memang aku tak tahu menahu pasal benda ni.
Ha, semua pembaca nampak tak kebijaksanaan rakanku yang bergelar M ini? Sampai sekarang aku rasa sangat bersyukur kerana M telah berjaya menahan aku daripada membahayakan nyawa sendiri. Semuanya kerana aku masih tidak mempelajari sebarang langkah pencegahan disebabkan aku tidak mempunyai rakan daripada China. Sekali lagi, terima kasih M!

